KOTA KINABALU: Penduduk Tanjung Aru tidak akan melupakan komitmen tinggi Kerajaan Negeri dalam memperkasa pendidikan, kata Pengerusi Cina Muslim Malaysia Sabah (MACMA) Dr Ritchie Jay Cheng.
Beliau memuji usaha berterusan kerajaan dalam memajukan pendidikan, terutamanya di kawasan luar bandar, dan menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif yang menjadikan pendidikan sebagai keutamaan dalam pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Dr Ritchie menekankan bahawa peruntukan hampir RM500 juta bagi pembangunan pendidikan membuktikan komitmen kukuh kerajaan negeri.
“Kenaikan jumlah biasiswa daripada RM51 juta kepada lebih RM120 juta membolehkan lebih 4,000 pelajar Sabah menerima manfaat secara langsung.”
Beliau turut menyentuh inisiatif BUDI yang memberi bantuan tunai one-off kepada lebih 10,000 pelajar diploma dan ijazah, serta program tambahan seperti BAKTI, SUKSES, subsidi tiket penerbangan Graduan Rindu Sabah (GRS), dan Tabung Pendidikan Negeri Sabah yang telah membantu lebih 13,000 pelajar melalui sumbangan RM15 juta daripada syarikat berkaitan kerajaan.
“Saya yakin pendekatan holistik yang diilhamkan oleh Ketua Menteri akan terus membuahkan hasil jangka panjang.
“Rakyat di DUN N22 Tanjung Aru pasti akan terus memberi mandat kepada GRS demi kesinambungan dasar-dasar pendidikan yang progresif ini,” katanya.






