Lelaki Miliki Syabu dan Tunggang Motosikal Curi Diberkas di Tawau

Lelaki Miliki Syabu dan Tunggang Motosikal Curi Diberkas di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Seorang lelaki tempatan diberkas polis selepas didapati memiliki dadah jenis syabu serta menunggang motosikal yang dilaporkan hilang dalam satu rondaan cegah jenayah di Lorong Muhibah BAL, Jalan Kuhara, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 20 tahun itu ditahan kira-kira jam 3.30 pagi oleh sepasukan anggota Strike Team dari Balai Polis Tawau.

Menurutnya, ketika cuba ditahan untuk pemeriksaan, suspek bertindak melarikan diri sebelum berjaya diberkas selepas anggota polis menggunakan kekerasan minimum.

“Hasil pemeriksaan terhadap tubuh badan suspek tidak menemui sebarang barang salah, namun pemeriksaan lanjut terhadap beg silang yang dipakai menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut terhadap motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang suspek mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan telah dilaporkan hilang pada 4 April lalu di daerah ini.

Tambahnya, suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah itu kemudiannya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Jasmin turut menasihatkan orang ramai agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah ini.