KOTA KINABALU: Penangguhan pelaksanaan bayaran 40 peratus hasil Sabah menimbulkan keraguan terhadap komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menunaikan hak negeri ini, kata Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Azrul Ibrahim.
Menurutnya, walaupun Kerajaan Persekutuan telah mengesahkan bahawa formula 40 peratus itu terpakai untuk Sabah serta keperluan semakan semula diakui, keputusan menangguhkan pelaksanaan memberi isyarat yang kurang meyakinkan.
“Penangguhan ini menimbulkan kebimbangan yang wajar dalam kalangan rakyat Sabah kerana ia memberi gambaran kurang jelas terhadap komitmen untuk melaksanakan hak tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri itu berkata, isu rayuan di Mahkamah Rayuan berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi melibatkan “Tahun-Tahun Hilang” (1974–2021) tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menangguhkan semakan serta pelaksanaan bayaran bagi tahun semasa.
“Perkara berkaitan rayuan dan pelaksanaan semasa perlu dilihat secara berasingan dan ditangani secara konstruktif demi kepentingan rakyat,” katanya.
Azrul menegaskan bahawa Sabah amat memerlukan peruntukan tambahan tersebut bagi mempercepat pembangunan infrastruktur asas serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menekankan bahawa hak 40 peratus itu bukanlah satu bentuk rundingan politik, sebaliknya hak berasaskan Perlembagaan yang wajib dilaksanakan.
“Ini bukan ‘bargaining chip’. Ia adalah hak Sabah yang mesti dihormati dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar satu garis masa yang jelas dan telus dikemukakan bagi menjelaskan bila serta bagaimana pelaksanaan semakan dan pembayaran akan dilaksanakan.
“Rakyat Sabah berhak mengetahui hala tuju sebenar perkara ini tanpa sebarang ketidakpastian,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata hubungan antara Persekutuan dan negeri perlu diperkukuh melalui keikhlasan serta kesediaan mencari penyelesaian terbaik tanpa bergantung sepenuhnya kepada proses mahkamah.
Azrul turut menyeru rakyat Sabah agar kekal tenang, bersatu dan konsisten dalam memperjuangkan hak negeri secara berhemah dan berterusan.






