Ketirisan, Pemantauan Lemah Punca Kurma Israel Masuk Pasaran Malaysia – PPIM

Ketirisan, Pemantauan Lemah Punca Kurma Israel Masuk Pasaran Malaysia – PPIM

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan mengambil tindakan segera terhadap penjualan kurma yang didakwa dari Israel.

Memetik sumber Harian Metro, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pemantauan dan penguatkuasaan lebih menyeluruh perlu dilaksanakan demi menjaga kepentingan rakyat.

Menurutnya, ketirisan atau pemantauan yang lemah menyebabkan produk itu boleh berada di pasaran negara ini.

“Ia bukan perkara baru sebaliknya pernah berlaku penjualan barangan dari negara yang dilarang sebelum ini, tapi tetap berada di pasaran Malaysia.

“Pelbagai taktik dilakukan untuk membawa masuk (kurma) ke negara ini, kemungkinan ia diimport dari negara jiran.

“Sebab itu pihak berkuasa perlu meningkatkan pemantauan terhadap barangan import termasuk meneliti borang deklarasi bagi mengelak ia terlepas masuk ke negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tular penjualan kurma didakwa dari Israel di pasaran tempatan sehingga mengelirukan pengguna.

Justeru, Nadzim berkata, pihak penguat kuasa diminta melakukan semakan terhadap produk kurma yang berada di pasaran ketika ini.

Selain itu, katanya, masyarakat juga perlu lebih peka dan memainkan peranan sebagai pengguna yang bijak dengan menyemak negara pengeluar selain kandungan dan sijil halal.

Terdahulu, media melaporkan kurma dari Israel dijual secara terang-terangan di pasaran tempatan.