Lelaki Maut, Lori Dipandu Terbabas dan Terbakar di Kota Belud

Lelaki Maut, Lori Dipandu Terbabas dan Terbakar di Kota Belud

0
SHARE

KOTA BELUD: Seorang lelaki maut selepas lori dipandunya terbabas sebelum terbalik dan terbakar dalam satu kemalangan di Jalan Kota Belud–Kota Marudu, berhampiran Ulu Kukut, di sini, pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.38 pagi itu, mangsa berusia 55 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu lori jenis rigid dari arah Kota Marudu menuju ke Kota Belud dipercayai hilang kawalan kenderaan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan sebelum kenderaan terbalik dan terbakar. Mangsa juga dipercayai tercampak ke dalam parit berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk tujuan bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika memandu serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Patuhi undang-undang jalan raya dan pastikan kenderaan dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan,” katanya.