Sabah Bakal Miliki Hospital IJN Sendiri

Sabah Bakal Miliki Hospital IJN Sendiri

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah bakal memiliki hospital khusus penyakit jantung apabila Institut Jantung Negara (IJN) menjalin kerjasama strategik dengan Yayasan Sabah melalui syarikat pelaburannya, Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB).

Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pembinaan hospital itu dimeterai hari ini dan disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Isnin.

Hajiji berkata, penubuhan hospital jantung pertama di Sabah itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

“Ini merupakan satu langkah penting dalam memastikan rakyat Sabah mendapat akses kepada rawatan kardiovaskular berkualiti tinggi tanpa perlu ke luar negeri,” katanya.

Di bawah kerjasama tersebut, sebuah hospital pakar jantung akan dibina di atas tapak seluas 10 ekar di Likas, sekali gus memperkukuh kemudahan rawatan penyakit kardiovaskular di negeri ini.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif ICSB, Datuk Jasnih Daya berkata, kewujudan hospital berkenaan akan mengurangkan kebergantungan pesakit terhadap fasiliti di luar Sabah, selain menjimatkan kos perjalanan dan mempercepat akses kepada rawatan pakar.

“Usaha ini juga akan membantu menyokong sistem kesihatan sedia ada di Sabah termasuk perkhidmatan di Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II yang kini berdepan kekangan kapasiti,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama strategik itu bukan sahaja meningkatkan akses kepada rawatan kesihatan, malah memberi impak positif dari segi pembangunan ekonomi serta peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Dalam pada itu, Pengerusi IJN, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata penyakit jantung kekal sebagai penyebab utama kematian di Malaysia, sekali gus memerlukan sistem kesihatan yang lebih responsif dan bersepadu.

“Peluasan akses kepada rawatan berkualiti tinggi amat penting supaya rakyat dapat menikmati perkhidmatan kesihatan tanpa mengira lokasi geografi,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa pembukaan Hospital IJN di Sabah berpotensi membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan kesihatan dengan menawarkan perkhidmatan bertaraf global pada kos berpatutan.

Pada majlis sama, satu lagi MoU dimeterai antara University College Sabah Foundation (UCSF) dan IJN University College bagi memperkukuh pembangunan tenaga kerja mahir dalam bidang kesihatan.

Kerjasama itu dijangka membuka lebih banyak peluang latihan serta pembangunan profesional kepada anak tempatan dalam sektor perubatan dan penjagaan kesihatan.