Muhyiddin, Noor Hisham Selamat Terima Suntikan Vaksin COVID-19

Muhyiddin, Noor Hisham Selamat Terima Suntikan Vaksin COVID-19

0
SHARE

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin selamat menerima suntikan vaksin COVID-19 hari ini, sekaligus menandakan bermulanya secara rasmi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di seluruh negara.

Pada pelancaran program itu, turut menerima suntikan vaksin ialah Ketua Pengarah kesihatan (KPK), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan 4 petugas barisan hadapan KKM.

Perdana Menteri dan semua penerima telah disahkan tidak mengalami sebarang kesan sampingan selepas 30 minit diletakkan dalam tempoh pemerhatian.

Dalam pada masa yang sama,  mereka (Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia) menunjukkan isyarat ‘V’ bermaksud ‘SAYA TELAH MENERIMA VAKSIN’ selepas menerima suntikan vaksin.

Mereka juga menunjukkan aplikasi MySejahtera yang mengemaskini tarikh temujanji seterusnya untuk menerima dos kedua. Selain aplikasi MySejahtera, penerima vaksin juga akan diberi kad temujanji vaksin.

Sukacita diingatkan kepada pengguna MySejahtera supaya mengemaskini aplikasi ini bagi menggunakan butang atau fungsi ‘COVID-19 Vaccination’ untuk mendaftarkan diri.

Pendaftaran untuk kategori penerima lain (contohnya mendaftar untuk orang tanggungan) akan dibuka secara berperingkat bagi mengelak kesesakan.

Sementara itu, kaedah pendaftaran penerimaan vaksin melalui laman sesawang vaksincovid.gov.my dan talian hotline akan bermula 5 Mac ini.