Jururawat Seluar Kotor Tidak Sempat Ganti Pakaian, Rumah Berjarak 100KM – Dr...

Jururawat Seluar Kotor Tidak Sempat Ganti Pakaian, Rumah Berjarak 100KM – Dr Asits

0
SHARE
Jkns
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Asits Sanna ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

KOTA KINABALU, SABAH – Seorang jururawat Masyarakat dari Klinik Desa Mandurian, Pitas, yang tular di media sosial melalui sebuah video minggu lalu tidak sempat balik ke rumah untuk menganti pakaiannnya yang kotor.

Dalam video tiga minit 25 saat dimuat naik pengguna Facebook Maslin Mas, jururawat berkenaan dilihat sedang menaiki sampan dengan seluar seragam putih yang terkena lumpur apabila tergelincir ketika cuba menaiki perahu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr. Asits Sanna berkata jururawat berkenaan sedang bertugas dengan membuat lawatan rumah ke atas pesakit yang baru bersalin di Kampung Mangkabusu.

Katanya, kejadian tersebut dirakamkan pada 28 November 2023 oleh salah seorang penduduk kampung yang turut sama dalam perahu dalam perjalanan menyeberangi sungai.

“Jururawat Masyarakat berkenaan tidak sempat balik ke rumah untuk menukar pakaian yang sesuai contohnya seluar gelap apabila menjalankan tugas di lapangan.

“Ia kerana jarak antara Kampung Mangkabusu dengan rumah jururawat berkenaan adalah 100 km, sedangkan Jururawat Masyarakat perlu memberi perkhidmatan kesihatan yang segera kepada pesakit berkenaan,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Mengikut pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan bertarikh Julai Tahun 2014 mana-mana jururawat yang menjalankan tugas di lapangan dibenarkan memakai seluar berwarna biru gelap.

Walau bagaimanapun, Dr. Asits berkata jururawat masyarakat berkenaan telah membersihkan kotoran pada pakaian seragamnya sebelum memberi rawatan kepada pesakit berkenaan.

“Jabatan ini menghargai pengorbanan dan dedikasi semua warga kerja di jabatan ini terutamanya jururawat-jururawat masyarakat yang bertugas di kawasan pedalaman di negeri Sabah dalam menjalankan tugas perawatan kepada rakyat meskipun berhadapan dengan cabaran-cabaran besar seperti isu logistik dan geografi yang mencabar.

“Jabatan ini juga akan menyemak dan menambahbaik prosedur kerja semasa dan peralatan logistik bagi memastikan keselamatan dan kebajikan warga kerja jabatan ini dalam menjalankan tugas lawatan rumah di negeri Sabah.

“Jabatan ini sentiasa komited untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat di negeri Sabah,” katanya.