KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 10,000 umat Islam berarak sambil mengalunkan selawat bagi mengimarahkan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1446H/2024M, pada Isnin.
Perarakan sejauh 1.6 kilometer yang melalui Jalan KK Bypass dan Jalan Tun Fuad Stephens itu disertai 98 kontinjen mula berarak pada jam 8.00 pagi dari Dewan Masyarakat Kota Kinabalu menuju ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Teluk Likas.
Mengetuai perarakan tersebut ialah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin serta isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag.
Turut mengiringi, Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M. Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1446H/2024M merangkap Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, jemaah kabinet negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan. — JABATAN PENERANGAN SABAH