
KOTA KINABAL, SABAH – Mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Amin Senin dianugerahkan Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah Tahun 1446H/2024M.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin yang diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1446H/2024M merangkap Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Teluk Likas, pada Isnin.
Dr Amin, 64, memaklumkan anugerah yang diterima merupakan satu penghormatan bukan hanya pada diri beliau malah lebih kepada pengiktirafan buat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta guru-guru yang banyak menyumbang kepada peningkatan sektor pendidikan negara terutama para pendidik yang berada di negeri Sabah.
“Harapan saya agar pengiktirafan ini akan menjadi pendorong kepada seluruh warga pendidik agar tidak jemu untuk berbakti kepada masyarakat,” katanya.
Amin ketika ini merupakan Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan dan pernah dilantik sebanyak dua kali sebagai Ahli Majlis tertinggi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) iaitu pada tahun 1994-1998 dan 2014-2019 serta Ahli Lembaga Pengarah Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) 2014-2016.
Pencapaian Dr Amin antaranya dalam bidang pendidikan adalah penerima Global Awards for Excellence in Education Leadership and Teaching pada 4 Julai 2024 di World Education Congress (India), Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan KPM 2020 serta Tokoh Guru Suluh Budiman Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 2024.
Sementara itu, Anugerah Tokoh Maulidur Rasul (Wanita) diberikan kepada Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Azizah Mohd Dun, 69, yang juga mantan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat.
“Penghargaan ini amat besar kepada diri saya, kaum keluarga dan sahabat-sahabat saya untuk terus bergiat dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyumbangkan bakti terutama dalam bidang dakwah dan kebajikan khususnya di negeri ini,” ujarnya.
Pemilihan Azizah adalah berdasarkan sumbangan beliau dalam bidang politik, undang-undang dan pentadbiran kerajaan khususnya ketika menjadi Timbalan Menteri (Persekutuan) Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah (2008-2013) serta Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat Malaysia (2013-2018).
Pada majlis tersebut Amin dan Azizah menerima piala iringan dan sepersalinan pakaian sumbangan JAKIM, seutas jam tangan sumbangan Pejabat Persekutuan Sabah, sijil penghargaan dan hadiah bernilai RM20,000 sumbangan kerajaan negeri.
Hadir sama pada Majlis Penyampaian Anugerah Tokoh Maulidur Rasul SAW 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Teluk Likas adalah Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam,Yang Dipertuan MUIS Datuk Yahya Hussin serta Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Sabin Samitah. — JABATAN PENERANGAN SABAH