
KOTA KINABALU, SABAH – Kira-kira 15,000 muslimin memeriahkan Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1446H/2024M yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Teluk Likas, pada Isnin.
Majlis yang diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin serta isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag serta Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M. Yahya dimeriahkan dengan pelbagai pengisian berunsur dakwah.
Hajiji ketika berucap menekankan tentang penguasaan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, termasuk yang berkaitan dengan teknologi baharu seperti industri digital, Internet of Things, kecerdasan buatan (AI).
Katanya, penggunaan robotik dan sebagainya akan meletakkan masyarakat ummah setaraf dengan bangsa-bangsa lain yang lebih maju di dunia.
“Pendekatan kerajaan mengajak rakyat mengenang kejayaan Rasulullah SAW membina ummah yang berjaya adalah selaras dengan hasrat murni untuk membangunkan sektor sumber manusia dan modal insan.
“Modal insan yang berkualiti adalah prasyarat terpenting dalam mencapai wawasan negeri dan negara, kerana tanpa nilai atau kualiti yang tinggi, negara akan menjadi lemah dan tidak mampu untuk bersiang dalam apa jua bidang dan arena di peringkat antarabangsa.
“Justeru hasrat murni kerajaan ini, bukan sahaja harus disambut baik oleh seluruh rakyat, bahkan harus disokong dan didukung oleh masyarakat ummah, demi kemajuan yang berterusan dan kesejahteraan yang berkekalan,” katanya.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya, Menteri Kewangan Sabah Datuk Masidi Manjun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1446H/2024M Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam. — JABATAN PENERANGAN SABAH