KOTA KINABALU: Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Sabah menyokong langkah Kerajaan Negeri meminda Ordinan Cukai Jualan Negeri (SST) bagi memperjelas peruntukan cukai, mempermudah rayuan dan mengukuhkan penguatkuasaan.
Naib Pengerusi Jawatankuasa Usahawan Wanita MCCC Sabah, Yong Hui Sun berkata pindaan ini penting bagi mewujudkan sistem percukaian yang lebih jelas, telus dan adil terutama bagi PKS dan usahawan wanita yang sering terkesan akibat peraturan tidak konsisten.
“Kebimbangan terbesar komuniti perniagaan ialah ketidakpastian akibat tafsiran undang-undang yang kabur.
“Pindaan ini memberi hak lebih jelas kepada pembayar cukai dan garis operasi kepada penguat kuasa,” katanya.
Yong turut menggesa kerajaan mempertingkat latihan dan dialog dengan komuniti perniagaan agar pelaksanaan pindaan tidak menyimpang daripada semangat asal.
Beliau menyifatkan pindaan itu sebagai bukti kesediaan kerajaan mendengar suara industri serta komitmen menjadikan Sabah destinasi pelaburan lebih kompetitif dan mampan.






