Mayat Terapung, Polis Tahan Suspek Kes Bunuh Lelaki di Perairan Pulau Gaya

Mayat Terapung, Polis Tahan Suspek Kes Bunuh Lelaki di Perairan Pulau Gaya

0
SHARE

KOTA KINABALU: Polis berjaya menyelesaikan kes bunuh melibatkan penemuan mayat seorang lelaki tidak dikenali di perairan Kampung Lobong, Pulau Gaya, pada 5 Mei lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki menyebabkan kematian mangsa.

Menurut beliau, kejayaan itu hasil operasi bersepadu Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama IPD Lahad Datu menerusi “Op Kejam/Op Kesan”.

“Suspek utama berjaya ditahan pada 7 Mei 2026 ketika menaiki sebuah bas di Terminal Bas Reno Fajar, Lahad Datu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai menikam mangsa beberapa kali menggunakan sebilah pisau sebelum mengikat kaki mangsa dan membuang mangsa ke laut berhampiran rumah suspek.

“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan berkaitan kehilangan barang milik keluarga suspek,” katanya.

Tambah beliau, polis turut merampas sebilah pisau yang ditemui di dasar laut berhampiran lokasi kejadian dan dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kes berkenaan.

“PDRM merakamkan penghargaan kepada semua pegawai dan anggota yang terlibat dalam operasi ini serta orang awam yang telah menyalurkan maklumat sehingga kes berjaya diselesaikan dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.