KOTA KINABALU: Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi Sabah (SUIPTS) dengan penglibatan lebih 1,300 atlet dari 19 buah kontinjen mewakili Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh Sabah boleh dijadikan sebagai platform untuk menyatukan IPT di seluruh negeri ini.
Menyifatkan perkara tersebut, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata, penganjuran kejohanan itu diharap dapat melahirkan atlet-atlet yang akan mewakili Sabah ke peringkat sukan antara universiti di peringkat kebangsaan.
“Justeru kita berharap menerusi kejohanan ini kita akan dapat melatih atlet-atlet kita supaya bersedia untuk menjadi tuan rumah kepada Inter Asian University (IAU), di Kuala Lumpur pada tahun hadapan.
“Jadi ini saya fikir ini amat penting dan Insyaallah kita akan adakan ini setiap tahun. Sebab kita fikirkan ini adalah platform untuk kita menyatukan IPT di Sabah ini dalam konteks sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis perasmian kejohanan SUIPTS di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Sabtu.
Kejohanan yang berlangsung selama empat hari bermula 12 Jun lalu itu mempertandingkan sebanyak 10 acara sukan termasuklah Badminton, Bola Jaring, Bola Tampar, Bola Sepak, Futsal, Olahraga, Sepak Takraw, Petanque, Catur dan E-Sports.
Hadir sama Naib Canselor UMS, Prof. Datuk. Dr. Kasim Mansor; Timbalan Setiausaha Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Dr. Hanafiah Ayub; Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Md. Nor Abdul Halim; dan Naib Canselor University College Sabah Foundation, Datuk Dr. Rafiq Idris.
Dalam pada itu, Mustapha berkata,selain melahirkan tenaga mahir yang berkualiti, aktiviti sukan dan akademik juga mampu memberi pemikiran yang sihat dan berkualiti.
Katanya, budaya ini perlu dikembangkan kerana negara memerlukan tenaga mahir yang sihat selain menyumbang kepada negara dan negeri.






