KUALA LUMPUR – Seorang terbunuh manakala seorang lagi cedera apabila sebuah pesawat Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, malam tadi.
TUDM dalam satu kenyataan pagi ini berkata, juruterbang yang maut ialah Kapten Mohamad Affendi Bustamy, manakala rakannya, Mejar Mohd. Fareez Omar menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya di sini dan dilaporkan dalam keadaan selamat dan stabil.
Kenyataan itu memaklumkan, kedua-dua juruterbang berkenaan sedang melaksanakan latihan penerbangan (Night Flying) sebelum terbabit nahas.
Menurut kenyataan itu juga, TUDM akan segera menubuhkan Lembaga Siasatan Terperinci mengenai insiden.
Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dalam ciapan di Twitter memaklumkan beliau menerima berita kejadian dukacita malam tadi daripada Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.
“Baru terima panggilan daripada Panglima @tudm_rasmi Jeneral Tan Sri Ackbal memaklumkan insiden pesawat Hawk 108 terhempas di Butterworth (malam) tadi…
“Seorang anggota kehilangan nyawa, seorang lagi cedera. TUDM telah diarahkan segera berikan laporan lebih terperinci dan siasat punca kejadian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga anggota TUDM yang terkorban dalam kejadian itu.
“Takziah kepada keluarga anggota TUDM yang maut dan seorang lagi yang cedera. Amat sedih dan dukacita terima berita ini…
“Saya difahamkan anggota yang cedera telah dibawa untuk rawatan segera. @MINDEFMalaysia telah diarah untuk salur apa jua keperluan kepada keluarga kedua-dua anggota terlibat,” katanya