Bajet 2024 Selesaikan Masalah Air Labuan – Anifah

Bajet 2024 Selesaikan Masalah Air Labuan – Anifah

0
SHARE
Anifah
Datuk Seri Anifah Aman ( Sumber Foto: Gambar Google )

LABUAN – Penduduk Labuan boleh menantikan penyelesaian masalah air mereka berikutan pengumuman peruntukan yang diumumkan dalam Bajet 2024 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam ucapan Belanjawannya semalam, Anwar mengumumkan peruntukan daripada Bajet untuk pembaikan paip air dan infrastruktur berkaitan air lain di seluruh pulau Wilayah Persekutuan yang dijangka dapat menyelesaikan masalah air di sana.

Ini adalah hasil daripada peruntukan RM1.1 bilion untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Labuan, Sabah dan Kelantan.

Pengumuman ini disambut dengan penuh semangat oleh Senator Labuan Tan Sri Anifah Aman.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas peruntukan bajet ini. Ini menunjukkan beliau prihatin terhadap penduduk Labuan dan mahu menyelesaikan masalah mereka,” kata Anifah dalam sebuah kenyataan.

Anifah juga mengucapkan terima kasih kepada Yang Di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al Mustain Billah atas keprihatinan Seri Paduka terhadap masalah yang dihadapi rakyat Labuan dan Sabah.

“Baginda meluangkan masa menjelajah seluruh Borneo Malaysia dan mendengar suara rakyat. Malah beliau membaca semua surat yang diberikan kepadanya dan berkongsi dengan Perdana Menteri, bagi memastikan suara rakyat didengari,” katanya lagi.

Anifah berkata, beliau sentiasa membawa isu yang dihadapi penduduk Labuan kepada perhatian Kerajaan Persekutuan.

“Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengemukakan apa-apa perkara berkaitan Labuan kepada Kerajaan dan saya gembira Kerajaan Perpaduan memandang serius perkara itu,” katanya sambil menambah bahawa beliau pasti berita ini juga akan dialu-alukan di Labuan.

Tambahnya, penduduk Labuan sudah lama menderita akibat ketiadaan bekalan air bersih.
Anifah juga memuji usaha Kerajaan untuk menyokong pembangunan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (IBFC) sebagai hab kewangan Islam yang mematuhi Syariah sepenuhnya.

Perdana Menteri mengumumkan bahawa pengecualian cukai penuh akan diberikan selama lima tahun kepada entiti Labuan yang menjalankan aktiviti kewangan atau perdagangan berkaitan Kewangan Islam.

Anifah berkata insentif ini pastinya akan meningkatkan potensi Labuan untuk menarik pelabur teknologi kewangan yang pakar dalam kewangan Islam.

“Pengecualian cukai lima tahun adalah insentif yang baik untuk menarik pelabur ke Labuan untuk menjalankan aktiviti kewangan atau perdagangan yang berkaitan dengan Kewangan Islam.

“Apabila pelabur sektor ini masuk ke Labuan, ekonomi akan dirangsang, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan menghasilkan spin-off ekonomi,” katanya.

Antara aktiviti yang disenaraikan dalam Belanjawan ialah perbankan digital Islam, pertukaran digital Islam, dan pengeluaran token digital Islam.

Mengenai Sabah, Anifah, yang juga Penasihat Khas Perhubungan Antarabangsa dan Pelaburan Asing kepada Ketua Menteri mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas peruntukan RM6.6 bilion dana pembangunan untuk Sabah.

Beliau juga memuji penurunan kuasa kawal selia bekalan elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah yang selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963.

“Dengan pemerkasaan mengawal selia elektrik, saya berharap Sabah Electricty Sdn Bhd (SESB) dapat menyelesaikan isu bekalan elektrik di Sabah dan di Labuan,” katanya.

Anifah turut merakamkan penghargaan terhadap peruntukan RM7.4 bilion untuk Fasa 2 Jalan Sambungan Sabah Sarawak (SSLR) yang akan menambah baik keadaan jalan raya di Sabah.