KOTA KINABALU: Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin berkata, Dewan Undangan Negeri Sabah boleh dibubar pada bila-bila masa bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), yang disifatkannya jauh lebih penting berbanding PRN sebelum ini.
“PRN kali ini akan beri kesan besar kepada kestabilan politik dan ekonomi Sabah.
“Rakyat perlu bijak dan tidak terpengaruh dengan propaganda negatif di media sosial terhadap Kerajaan GRS,” katanya dalam Persidangan Tahunan Bahagian Pantai Barat yang ke-12.
Beliau mempertahankan pentadbiran GRS pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, dengan menyatakan rekod pencapaian termasuk rizab negeri mencecah RM8.6 bilion dan hasil negeri meningkat dari RM4 bilion (2022) ke RM7 bilion tahun ini.
Chin juga menegaskan pelaburan besar seperti RM11.34 bilion dari SK Nexilis dan Kibing Group, serta projek gas asli RM20 bilion oleh Esteel Enterprise Sabah menunjukkan keyakinan pelabur terhadap Sabah.
“GRS juga kutip RM1.5 bilion setahun hasil cukai jualan petroleum.
“Hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan turut membuahkan geran khas RM600 juta kepada Sabah tahun ini, berbanding hanya RM53 juta di zaman Warisan,” tambahnya.
Menurut Chin, LDP menolak sebarang kerjasama GRS dengan BN-Umno kerana sejarah rasuah dan sikap tidak berubah pemimpin mereka.
“Masyarakat Cina perlu bijak mengundi. Warisan mungkin tanding secara solo, tapi boleh juga bentuk kerajaan dengan BN jika tidak cukup kerusi. Kalau Warisan kalah, komuniti Cina akan dilabel pembangkang,” katanya.
Beliau turut menyelar Warisan yang menurutnya lemah dari segi kepimpinan dan tidak mampu menembusi kawasan majoriti Kadazan dan Melayu.
“GRS bawa kemajuan nyata. Jangan mudah hukum hanya berdasarkan video tular. Tunggu siasatan SPRM selesai sebelum buat penilaian,” tegasnya.
“Saya mohon rakyat Sabah bersatu, pilih pemimpin yang layak, dan terus beri mandat kepada GRS demi kestabilan dan masa depan negeri.”






