Arab Saudi Kini Benarkan Jemaah Berusia 12 Tahun Dari Luar Negara Menunaikan...

Arab Saudi Kini Benarkan Jemaah Berusia 12 Tahun Dari Luar Negara Menunaikan Umrah

0
SHARE

RIYADH, ARAB SAUDI – Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam satu kenyataan semalam memaklumkan khabar gembira bahawa jemaah yang berusia 12 tahun dari luar negara dibenarkan untuk menunaikan umrah.

Arab Saudi sebelum ini hanya individu berusia 18 tahun dibenarkan untuk menunaikan umrah.

Di bawah peraturan baharu itu, semua penduduk di Arab Saudi serta rakyat Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan jemaah asing yang berusia 12 tahun dan ke atas perlu mendapatkan permit untuk menunaikan umrah, solat di Masjidilharam, Makkah dan Masjid Nabawi, Madinah.

Saudi Gazette dalam satu kenyataan yang dipetik Khaleej Times menyatakan rakyat GCC perlu mendaftarkan bukti vaksinasi mereka di platform Muqeem sebelum tiba di Arab Saudi serta mendaftar di aplikasi Tawakkalna dan Eatmarna selepas berada di negara ini.

Sebaik sahaja status kesihatan mereka dikemaskini di aplikasi Tawakkalna, mereka dibenarkan menunaikan umrah dan solat di masjid utama berkenaan.

Jemaah yang tiba dari pelbagai negara juga perlu mematuhi prosedur sama, namun perlu menunjukkan bukti vaksinasi di platform Qudoom.

Syarikat umrah akan mengeluarkan permit yang diperlukan bagi jemaah asing yang menggunakan visa umrah.

Walaupun penjarakan fizikal sudah dimansuhkan, namun jemaah perlu memakai pelitup muka dan membuat tempahan terlebih dulu sebelum solat dan menunaikan umrah.