Jalankan Perniagaan Tanpa Kebenaran, Pembantu Tadbir Didenda RM8,000

Jalankan Perniagaan Tanpa Kebenaran, Pembantu Tadbir Didenda RM8,000

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KUALA LUMPUR – “Kamu lama dalam perkhidmatan dan mempunyai rekod yang cemerlang, kesalahan itu membuatkan kamu terpaksa menanggung akibat yang akan menjejaskan pekerjaan kamu,” demikian kata seorang Hakim sebelum mengenakan denda RM8,000 kepada seorang pembantu tadbir kerana menjalankan perniagaan tanpa kebenaran semasa berkhidmat sebagai penjawat awam.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu terhadap Suzana Murni Mansor, 53, yang mengaku bersalah sebagai Pembantu Tadbir Gred N22 di Jabatan Pengurusan Fasiliti Bersepadu, sebuah hospital kerajaan dan terikat di sisi undang undang, supaya tidak mengambil bahagian dalam perniagaan.

Memetik laporan Bernama, perkara berkenaan diperuntukkan di bawah Peraturan 4(1), Jadual Kedua, Bahagian II Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 dan tertuduh telah mengambil bahagian dalam perniagaan, iaitu sebagai pemilik Syarikat Fana Global Resources yang mendapat kerja membekal dan menghantar sarung kaki kepada kakitangan hospital kerajaan terbabit yang bernilai RM44,500.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jabatan Pengurusan Fasiliti Bersepadu, sebuah hospital kerajaan, di sini pada Disember 2016 dan pertuduhan adalah mengikut Seksyen 168 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Hakim Azura, yang memerintahkan tertuduh dipenjara LIMA (5) bulan sekiranya gagal membayar denda, turut menasihati wanita itu supaya insaf dan tidak mengulangi kesilapan sama.

“Kamu patut bersyukur kerana ada pertuduhan pilihan terhadap kamu yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan. Saya harap kamu betul-betul kesal dan insaf dengan kesalahan kamu ini dan kamu dapat mulakan kehidupan yang lebih baik di samping keluarga,” kata Hakim itu.

Terdahulu, Suzana yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia telah menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.

“Pengakuan bersalah saya telah memudahkan urusan mahkamah dan saya mohon jasa baik Yang Arif untuk mempertimbang bagi meringankan hukuman saya kerana ini kali pertama saya membuat kesilapan…

“Sepanjang 25 tahun saya berkhidmat (sebagai penjawat awam), saya adalah seorang pekerja cemerlang. Saya juga mempunyai komitmen hutang perumahan dan menanggung dua anak yang masih menuntut di Intitusi Pengajian Tinggi Awam,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noryusriza Zulkifli memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira faktor kepentingan awam hendaklah mengatasi kepentingan tertuduh.

“Pendakwaan juga memohon satu hukuman berbentuk pengajaran dan pendidikan, bukan sahaja kepada tertuduh tetapi penjawat awam lain supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan khas untuk penjawat awam…

“Bagaimanapun, memandangkan ini adalah kesalahan pertama dan tertuduh mengaku bersalah pada peluang pertama yang diperolehnya, pihak pendakwaan berpandangan hukuman berbentuk denda adalah memadai,” katanya yang dibantu Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Aliff Shaharuzaman.