Pembangunan Bersama Ambalat Dengan Indonesia Belum Dimuktamad – Mohamad Alamin

Pembangunan Bersama Ambalat Dengan Indonesia Belum Dimuktamad – Mohamad Alamin

0
SHARE

JAKARTA: Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin menegaskan bahawa cadangan pembangunan bersama antara Malaysia dan Indonesia di kawasan Laut Sulawesi masih belum dimuktamadkan.

Katanya, pelbagai proses perlu dipertimbangkan terlebih dahulu, termasuk mendapatkan pandangan dan persetujuan Kerajaan Negeri Sabah. 

Mekanisme sedia ada seperti Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) akan digunakan sepenuhnya.

“Pembangunan bersama ini masih dalam pertimbangan dan belum dimuktamadkan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Cadangan pembangunan bersama melibatkan Blok ND6 dan ND7, yang dirujuk Indonesia sebagai “Ambalat”, bukan isu baharu.

Kawasan itu dipercayai mengandungi sumber seperti minyak dan gas. Pada 2022, Perdana Menteri ketika itu telah mengarahkan Petronas mengkaji inisiatif tersebut.

Menurut Mohamad, isu ini turut dibangkitkan semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jakarta pada 27 Jun lalu.

“Perdana Menteri sendiri menegaskan bahawa kepentingan Sabah perlu diambil kira secara adil,” katanya.

Kawasan berkenaan masih belum boleh diterokai kerana ia berada dalam kawasan pertikaian sempadan maritim antara Malaysia dan Indonesia.

Proses penetapan sempadan maritim ini adalah usaha jangka panjang dan kompleks, dijalankan oleh Jawatankuasa Teknikal di bawah Kementerian Luar Negeri dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Kerajaan Negeri Sabah.

Mohamad menegaskan bahawa Kerajaan Malaysia komited untuk menyelesaikan isu ini secara teliti dan berunding berdasarkan mekanisme sedia ada.

“Kedaulatan dan kepentingan strategik negara, khususnya Sabah, akan terus dipertahankan,” katanya lagi.

Beliau turut menjelaskan bahawa Perjanjian Laut Sulawesi yang ditandatangani pada 8 Jun 2023 tidak menjejaskan hak kedaulatan Malaysia di perairan timur Sabah.

Perjanjian itu hanya melibatkan sebahagian laut wilayah dan tidak termasuk Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia.

“Perjanjian tersebut tidak meliputi Blok ND6 dan ND7 atau ‘Ambalat’ yang terletak dalam EEZ Malaysia sehingga 200 batu nautika,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa Kerajaan Malaysia telah menggadaikan hak Sabah kepada Indonesia.