Lelaki Cedera Kepala Kereta Terbabas Dalam Parit di Tambunan

Lelaki Cedera Kepala Kereta Terbabas Dalam Parit di Tambunan

0
SHARE

TAMBUNAN: Seorang lelaki berusia 35 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas kenderaan yang dipandunya terbabas sendiri ke dalam parit di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Martin, awal pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.06 tengah malam. 

Sebuah jentera FRT dan unit EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi Dan tiba empat minit kemudian.

“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipercayai terbabas sendiri sebelum termasuk ke dalam parit di tepi jalan.

“Mangsa telah keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Pasukan EMRS memberi rawatan awal dan menghantar mangsa ke Hospital Tambunan bagi mendapatkan rawatan lanjut,” kata seorang jurucakap agensi.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.25 pagi selepas tiada risiko bahaya lain dikesan di lokasi.