
KOTA KINABALU, SABAH – Penjawat awam negeri dinasihatkan agar sentiasa berpegang teguh kepada nilai-nilai profesionalisme semasa melaksanakan tanggungjawab keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang telah ditetapkan pada 19 November ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong berkata, nilai dan etika tersebut wajib untuk dituruti sepertimana yang telah termaktub dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Tahun 2008.
“Saya suka memetik sebahagian daripada Peraturan 225 (1), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Tahun 2008 iaitu..
“Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam subperaturan (3), seorang pegawai adalah dilarang mengambil bahagian secara aktif atau menjalankan sebarang kegiatan politik atau memakai mana-mana lambang sesuatu parti politik.
“Bagi mereka yang ditugaskan sebagai pegawai dan petugas pilihanraya, saya harap anda semua dapat melaksanakan tugas dan tanggunjawab yang diberi dengan sebaiknya,” katanya ketika merasmikan Seminar Pemantapan Penyediaan Jawapan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Khamis lepas.
Selain itu, Safar meminta supaya Bahagian Kerajaan Digital, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri untuk meneliti dan mengkaji cadangan mentransformasikan proses pengurusan dokumen DUN di semua kementerian secara digital.
Katanya, pembaharuan ini penting memandangkan hampir keseluruhan proses pengurusan dokumen DUN di semuua kementerian masih dilaksanakan secara manual.
“Ini bukan sahaja memudahkan proses, malah akan menjadi pusat penyimpanan kepada data-data berkaitan soalan dan jawapan DUN terdahulu.
“Ini juga selari dengan inisiatif pendigitalan menuju Kerajaan Pintar (Smart Government) oleh Kerajaan Negeri dalam tempoh lima tahun mulai tahun 2020,” katanya.
Seminar Pemantapan Penyediaan Jawapan Sidang Dewan DUN yang julung kali diadakan itu bertujuan memberi pendedahan serta pemahaman mengenai proses, isu pengurusan dan kaedah menjawab soalan dewan mengikut kehendak Peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri.
Seramai 219 orang terdiri daripada Setiausaha-Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan, Pengarah-Pengarah Bahagian, serta pegawai perkhidmatan awam negeri menyertai seminar berkenaan yang dianjurkan secara bersama antara Bahagian Pembangunan Kapasiti, JPAN dengan Bahagian Kabinet dan Dasar, Jabatan Ketua Menteri.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Kadzim Haji M.Yahya, Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), Datuk Hajah Diyanah Abdullah, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Sr. Lee Chun Khiong, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JPAN, Josie Lai, mewakili Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri, Pengarah Bahagian Kabinet dan Dasar, Datuk Ridhwan Roger Linus, Pengarah Bahagian Pembangunan Kapasiti merangkap Pengerusi Penganjur Bersama, Charles William Dabbi, dan Timbalan Pengarah II Dewan Bahasa dan Pustaka, cawangan Sabah, Jennitah Noordin.