Elak Didenda JPN, Seorang Lelaki Buat Laporan Palsu Dirinya Disamun

Elak Didenda JPN, Seorang Lelaki Buat Laporan Palsu Dirinya Disamun

0
SHARE

KUCHING, SARAWAK Seorang lelaki membuat laporan polis palsu mendakwa dirinya telah disamun bagi mengelak di denda Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Bagaimanapun, tindakan pemuda itu mereka-reka cerita kerana kehilangan kad pengenalan diketahui pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon berkata, suspek, 22, dituduh di Mahkamah Majistret, di sini semalam di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Katanya, suspek membuat laporan disamun oleh dua lelaki menggunakan senjata pisau pada 1 Ogos lalu, kira-kira jam 7.30 pagi di Jalan Kruing, Bintawa.

“Suspek mendakwa telah mengalami kerugian sebanyak RM1,200 dan kehilangan dokumen penting iaitu kad pengenalan dan kad bank…

“Hasil siasatan polis mendapati suspek hanya mereka-reka cerita bagi mengelakkan didenda oleh Jabatan Pendaftaran kerana kehilangan kad pengenalan,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin (6 Ogos).

Dalam pada itu, Ahsmon berkata, sepanjang Januari hingga Ogos, sebanyak lima laporan polis palsu melibatkan kejadian samun dan ragut telah dikesan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

Jelasnya, kesemua suspek telah berjaya dituduh di Mahkamah di bawah 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda Maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Justeru tegasnya, pihak polis mengingatkan orang ramai agar tidak membuat laporan palsu sehingga memberi gambaran negatif berlakunya kejadian jenayah di Daerah Kuching dan pihak polis akan mengambil tindakan terhadap individu yang membuat perkara demikian.