TAMPARULI: Jambatan Tamparuli ditutup sementara atas faktor keselamatan pengguna, kata Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Madius Tangau.
“Mohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh semua pengguna Jambatan Tamparuli.
“Jambatan ini terpaksa ditutup sementara atas faktor keselamatan pengguna, yang menjadi keutamaan kita bersama,” katanya, di sini, semalam.
Madius berkata beliau telah menghubungi pihak JKR Tuaran untuk penjelasan lanjut dan meminta perancangan segera bagi memastikan keselamatan jambatan terjamin.
Menurutnya, Pihak JKR akan menjalankan pemeriksaan teknikal esok (hari ini), termasuk penilaian hingga ke dasar sungai bergantung kepada keadaan cuaca.
“Saya akan mengemas kini situasi sebenar pada hari Khamis selepas penilaian dibuat oleh pihak JKR. Terima kasih atas kesabaran dan kerjasama semua,” tambahnya.
Penutupan itu berlaku menjelang Hari Tamu Tamparuli, sekali gus menimbulkan kesulitan kepada orang ramai.






