RM80 Juta Diperuntuk Tubuh Pusat Jantung Negara Sabah

RM80 Juta Diperuntuk Tubuh Pusat Jantung Negara Sabah

0
SHARE
Anwar
Anwar berucap ketika majlis ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Pusat memperuntukkan RM80 juta bagi menubuhkan Pusat Jantung Negara Sabah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkhidmatan kardiologi atau jantung di Sabah setakat ini memiliki klinik pakar, Makmal Kateterisasi dan Bukan Invasif, Dewan Bedah Kardiotorasik, tiga orang pakar dan 120 jururawat terlatih.

“Tetapi, saya tidak fikir ini mencukupi untuk keperluan rakyat Sabah.

“Maka dengan ini saya umumkan supaya kemudahan atau blok khas untuk jantung negara yang disebut sebagai Pusat Jantung Negara Sabah dan akan ditambah segera tiga orang pakar, sokongan terlatih dan peruntukan sebanyak RM80 juta untuk memulakan projek tersebut.

“Pusat jantung ini akan menjadi pusat rawatan jantung kedua negara selepas Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur,” katanya ketika berucap semasa Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Kebangsaan di sini, pada Sabtu.

Majlis yang dihadiri kira-kira 25,000 pengunjung itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Dalam pada itu, Anwar menekankan kerajaan komited untuk menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara termasuk negeri Sabah.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah kerana jumlah dicapai dengan menyakinkan dalam masa singkat dan saya percaya yang kita dapat mengurangkan kadar miskin tegar seboleh-bolehnya pada tahun ini,” tambahnya.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag, Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya dan menteri-menteri kabinet. — JABATAN PENERANGAN SABAH