Ketua Menteri Akan Pecah Tanah Kilang Simen Terbesar Kedua Negara Di Tongod...

Ketua Menteri Akan Pecah Tanah Kilang Simen Terbesar Kedua Negara Di Tongod – Masiung

0
SHARE
Masiung
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah

TONGOD, SABAH – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor akan melakukan upacara rasmi pecah tanah kilang klinker dan simen bersepadu terbesar di Sabah pada 27 April (Sabtu) ini di Dataran Terbuka Pinangah.

Pembinaan kilang dengan nilai pelaburan RM2 bilion itu melibatkan kerjasama antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) dengan syarikat tempatan Sri Alam Setia Sdn Bhd.

Pengerusi Borneo Cement Sabah Sdn Bhd, Datuk Masiung Banah berkata, ketibaan Ketua Menteri akan disambut sebagai wira dengan upacara tradisi suku kaum Sungai dan Murut.

Kilang simen itu katanya, muncul sebagai kilang kedua terbesar di negara ini selepas kilang ASN Cement Sdn Bhd di Gua Musang, Kelantan.

Sebaik sahaja melakukan upacara simbolek menanam pokok, Hajiji dijadualkan melancarkan sebuah buliten keluaran terbaharu Sabah “Citra Kalaga” yang akan diterbitkan setiap dua bulan.

Masiung berkata, Citra Kalaga akan tampil sebagai lidah rasmi kerajaan yang bakal memuatkan berita-berita tempatan dan nasional serta rencana terkini hasil tulisan dan susunan dua tokoh wartawan Sabah, Datuk Lichong Angkoi dan Yussof J. Imbang.