Tiada Keperluan Memakai Pelitup Muka Susulan Letusan Gunung Ruang – JKNS

Tiada Keperluan Memakai Pelitup Muka Susulan Letusan Gunung Ruang – JKNS

0
SHARE
Jkns
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Asits Sanna ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

KOTA KINABALU, SABAH – Penilaian risiko letusan Gunung Ruang di Indonesian yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mendapati tiada keperluan memakai pelitup muka di kawasan terbuka buat masa ini.

Pengarahnya, Datuk Dr. Asits Sanna berkata pemantauan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak menunjukkan bahawa kualiti udara di permukaan bumi terjejas.

“Namun demikian, orang awam dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dan hospital yang terdekat sekiranya mengalami tanda dan gejala pernafasan.

“JKNS ini juga memantau penyakit berkaitan jerebu seperti jangkitan saluran pernafasan atas, asma, dan juga penyakit konjunktivitis di beberapa klinik kesihatan dan hospital sentinel di negeri Sabah.

“Justeru, orang ramai dinasihati untuk mengikuti laporan status kualiti udara yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar dan mengambil tindakan kesihatan berpandukan IPU di kawasan masing-masing,” katanya dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan.

Tambahnya, JKNS sentiasa memantau persekitaran dan sebarang perubahan status pencemaran udara akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

Sejak Selasa, Gunung Ruang di Pulau Sulawesi telah meletus sebanyak 6 kali dengan asap letusan berwarna kelabu hingga hitam dengan ketinggian sekitar 3,000 meter (9,843 kaki) diperhatikan di atas puncak, disertai dengan bunyi deruan dan gempa bumi.

Beberapa lokasi di kepulauan berdekatan telah mengalami hujan abu gunung berapi.

Letusan gunung berapi boleh membebaskan zarah berbahaya seperti abu serta gas karbon dioksida (CO2) dan sulfur dioksida (SO2).

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia baru-baru menyatakan, letusan yang dicerap adalah sehingga 16,764 meter (55,000 kaki) di udara.