
KOTA KINABALU, SABAH – Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2023 berjaya menyantuni 19,000 masyarakat di negeri ini.
Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata, konvoi KMJG 2023 melalui 25 daerah dan mendapat sambutan memberangsangkan di semua 66 hentian.
“Sepanjang kita berkonvoi, kita dapat melihat banyak Jalur Gemilang dikibarkan di sepanjang jalan, rumah kediaman dan premis perniagaan dari bandar sehingga kawasan pedalaman.
“Selain singgah di tempat bersejarah, konvoi juga berhenti di tempat baharu diperkenalkan antaranya titik paling barat di Sabah, Batu Sumpah, Heart of Borneo (Tongod) dan Pitas yang dikenali sebagai Tanduk Borneo.
“Kita berharap pada masa akan datang KMJG masih diteruskan kerana sedikit sebanyak dapat meningkatkan semangat patriotisme dan menggelorakan Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia.
“KMJG adalah cara kita melaksanakan kempen mengajak orang ramai secara bersemuka mengibarkan bendera kebangsaan,” katanya semasa Majlis Apresiasi KMJG 2023 di sini, pada Jumaat malam.
Seramai 66 peserta konvoi daripada Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah, Bernama, FINAS, Telekom Malaysia, Pos Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Angkatan Pertahanan Malaysia dan anggota Jabatan Penerangan Negeri Sabah diraikan dalam majlis tersebut.
Selain itu, program tersebut juga bagi menghargai sumbangan rakan-rakan strategik yang memberikan sumbangan sepanjang KMJG 2023 antaranya Jetama Sdn Bhd, Fuma Group, Malaysian Aviation Group, McDonalds, Adabi dan Bataras. — JABATAN PENERANGAN SABAH