Pemimpin Teragung Taliban Gesa Masyarakat Antarabangsa Iktiraf Kerajaan Afghanistan

Pemimpin Teragung Taliban Gesa Masyarakat Antarabangsa Iktiraf Kerajaan Afghanistan

0
SHARE

KABUL, AFGHANISTAN – Pemimpin teragung Afghanistan menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengiktiraf kerajaan Afghanistan yang kini diterajui oleh Taliban.

Untuk rekod, tiada negara di dunia ini yang secara rasminya mengiktiraf Taliban setakat ini selepas kumpulan itu merampas kuasa pada Ogos lalu dan memperkenalkan peraturan Islam keras yang didakwa meminggirkan wanita daripada kehidupan awam.

Pejuang Taliban menaiki kenderaan tentera di Kabul, ibu negara Afghanistan ketika mengambil alih kuasa pada Ogos lalu…(Sumber Foto: Xinhua)

Dalam mesej bertulis menjelang perayaan Aidilfitri yang dipetik AFP, pemimpin teragung Taliban iaitu Hibatullah Akhundzada tidak menyentuh perkara penting diutarakan antarabangsa termasuk membuka semula sekolah menengah untuk wanita.

Sebaliknya, beliau menghendaki supaya pengiktirafan dibuat terlebih dahulu supaya pihaknya boleh menangani masalah secara rasmi, dalam norma diplomatik dan prinsip.

“Tidak dinafikan, dunia telah berubah menjadi sebuah perkampungan kecil,” kata Akhundzada yang tidak pernah dilihat di khalayak ramai selama bertahun-tahun lamanya dan tinggal secara sederhana di Kandahar iaitu pusat kerohanian kumpulan Taliban.

“Afghanistan ada peranannya dalam keamanan dan kestabilan dunia. Berdasarkan keperluan ini, dunia seharusnya mengiktiraf Emiriah Islamik Afghanistan,” tambahnya.

Kelhatan beberapa orang tentera Taliban meronda di hadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul, Afghanistan…(Sumber Foto: REUTERS)

Mesej Aidilfitri yang disampaikan itu dibuat ketika negara berkenaan diserang dengan beberapa siri letupan bom.

Ada pihak yang mendakwa ia dilakukan kumpulan jihad DAESH dan menyasarkan komuniti minoriti Syiah Hazara.

Dalam ucapan itu, Akhundzada tidak menyentuh mengenai ketidaktenteraman negara itu, sebaliknya beliau berkata, negara berjaya membina tentera nasional dan Islamik yang kuat termasuk sebuah organisasi perisikan kuat.

Banyak komuniti antarabangsa mahu bantuan kemanusiaan dan pengiktirafan dikaitkan dengan pemulihan hak asasi manusia.

Puluhan ribu wanita hilang kerjaya dalam perkhidmatan awam selepas Taliban mengambil alih kerajaan.

Golongan itu juga mendakwa mereka dihalang meninggalkan negara itu atau mengembara antara bandar, melainkan ditemani oleh ahli keluarga lelaki.

Mac lalu, Taliban mencetuskan kemarahan antarabangsa dengan bertindak menutup semua sekolah menengah untuk wanita, hanya beberapa jam selepas membenarkan ia dibuka semula untuk pertama kali sejak Taliban merampas kuasa.

Beberapa pegawai Taliban berkata, larangan itu secara peribadi diarahkan oleh Akhundzada.