PENCAPAIAN POSITIF BUKTI KESUNGGUHAN KERAJAAN NEGERI: KM HAJIJI

PENCAPAIAN POSITIF BUKTI KESUNGGUHAN KERAJAAN NEGERI: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Hajiji mengiringi Anwar dalam Majlis Sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Kebangsaan 2024 di SICC ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pencapaian ekonomi positif dalam tempoh tiga tahun lalu menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri mentadbir dan membangunkan Sabah.

Beliau berkata Sabah telah mencapai beberapa kejayaan ekonomi melalui pelan tindakan pembangunan lima tahun – Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

“Dengan kejayaan ini, saya berani mengatakan bahawa Sabah kini berada di landasan yang tepat. Beberapa petunjuk ekonomi telah menunjukkan perubahan positif yang mencerminkan masa depan yang lebih baik untuk Sabah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pemilihan Sabah sebagai tuan rumah bagi Sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Kebangsaan 2024 bukan sahaja satu penghormatan tetapi juga satu pengiktirafan terhadap kepelbagaian kaum, etnik serta budaya dan agama di negeri ini.

“Kami mempunyai rakyat dari pelbagai latar belakang, agama dan kaum namun kami kekal hidup harmoni. Kami menyambut semua perayaan sama ada Hari Raya Aidilfitri, Krismas, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Pesta Kaamatan. Inilah keunikan dan kekuatan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Turut hadir, Yang di Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Hajiji berkata sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Kebangsaan yang dihadiri daripada segenap lapisan masyarakat termasuk pemimpin tertinggi negara dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan rakyat dan menyemarakkan semangat perpaduan.

“Selari dengan semangat Malaysia Madani dan agenda besar Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri yang bertekad mengembalikan kegemilangan nama negara di persada global, Sabah menyokong penuh perjuangan ini demi negara dan kemakmuran rakyat.

“Kami di Sabah percaya bahawa keharmonian kaum adalah kunci kepada kemakmuran.

“Ia juga menyumbang kepada keamanan, keselamatan dan perpaduan. Masyarakat yang bersatu padu adalah masyarakat berdaya tahan terhadap unsur negatif yang mengancam perpecahan,” katanya.