PBT Sabah Komited Wujudkan Kelestarian Persekitaran

PBT Sabah Komited Wujudkan Kelestarian Persekitaran

0
SHARE
Joachim
Jamili (tiga dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Joachim ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – 25 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta dua Majlis Perbandaran di Sabah komited mewujudkan kelestarian persekitaran menerusi Deklarasi I-HIJAU.

Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata para presiden dan pegawai eksekutif PBT di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) memainkan peranan penting di daerah masing-masing bagi mewujudkan bandar dan penempatan manusia inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan.

“Perancangan di setiap daerah perlu berlandaskan kepada pendekatan infrastruktur hijau untuk mengurangkan kesan pulau haba dan mengurangkan risiko bencana yang berkaitan dengan kebakaran, kemarau, dan banjir.

“Usaha memberi pendedahan terhadap peranan dalam pembangunan lestari ke arah persekitaran hijau dan berdaya huni, serta menguar-uarkan usaha HIJAU kepada semua, hendaklah berterusan termasuklah agensi kerajaan, swasta, institusi pendidikan serta orang awam,” ujar beliau.

Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah menegaskan, pengetahuan dan amalan HIJAU amat penting dalam usaha meningkatkan kecekapan PBT dalam merancang pembangunan di kawasan pentadbiran masing-masing selaras dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya ke arah pembangunan lestari.

Ketika berucap merasmikan Program Festival I-HIJAU KKTP di sini pada Sabtu, beliau memaklumkan, program tersebut merupakan salah satu langkah proaktif untuk melestarikan amalan hijau yang menyokong Pembangunan Lestari (Sustainable Development), Hala Tuju Sabah Maju Jaya – Pelan Pembangunan SMJ 1.0: 2021-2025, Dasar Landskap Negeri Sabah dan Inisiatif KKTP Ke Arah Masyarakat Rendah Karbon.

Malah, beliau menyifatkan program festival sehari itu amat bersesuaian sebagai suntikan kepada tadbir urus pembangunan ke arah masyarakat berdaya huni.

“Sukacita saya ingatkan semula, pada 2 November 2022, sidang Jemaah Menteri telah bersetuju dan menerima Dasar Landskap Negeri Sabah sebagai usaha menggariskan hala tuju di peringkat negeri untuk memastikan pembangunan landskap negeri yang berkualiti, teratur dengan kesenibinaan landskap tersendiri serta persekitaran yang terpelihara.

“Melalui pelan tindakan kementerian di bawah dasar ini kelak, rancangan inisiatif-inisiatif HIJAU akan terus diperkasakan.

“Pentingnya kita menyentuh tentang tadbir urus kerajaan dan pembudayaan masyarakat rendah karbon dapat membantu mewujudkan persekitaran tempat tinggal lebih sejahtera.

“Saya percaya program seperti ini amat penting dan berfungsi sebagai platform untuk bertukar idea, dialog, kajian dan rangkaian dengan pakar agar dapat mempelajari amalan terbaik bagi menangani isu global masa kini,” tambahnya.

Pada majlis berkenaan, beliau turut menyempurnakan simbolik penyerahan Program Resolusi I-HIJAU kepada Tuan Rumah – 5 Zon yang terdiri daripada Majlis Daerah Penampang, Majlis Daerah Keningau, Lembaga Bandaran Kudat, Majlis Daerah Beaufort dan Majlis Perbandaran Sandakan.

Antara yang hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, Pembantu Menteri II, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Mohamad Hamsan Ag Supain dan Setiausaha Tetap KKTP, Datuk Dr Jamili Nais. — JABATAN PENERANGAN SABAH