RM84,220 Royalti Muzik Tempatan Sepanjang Perayaan Kaamatan 2023

RM84,220 Royalti Muzik Tempatan Sepanjang Perayaan Kaamatan 2023

0
SHARE
Jeffrey
Jeffrey (tengah) berjabat tangan dengan Pengarah Urusan MRS Berhad, Asmin Mudin ( Sumber Foto: Ihsan Pejabat Timbalan Ketua Menteri )

KOTA KINABALU, SABAH – Music Rights Sabah (MRS Berhad) akan menerima pembayaran royalti sebanyak RM84,220 bagi penggunaan lagu-lagu tempatan sepanjang perayaan Pesta Kaamatan 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan berkata pihaknya sangat prihatin terhadap nasib dan hak penggiat seni tempatan Sabah yang selama ini tidak terbela selama lebih 30 tahun.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat MRS Berhad, semalam.

Kunjungan MRS tersebut bertujuan menyampaikan taklimat berkenaan pelesenan penggunaan lagu etnik tempatan yang terletak di bawah mandat MRS di sepanjang penganjuran Pesta Kaamatan di 34 buah daerah seluruh Sabah dan tujuh cawangan KDCA seluruh Malaysia termasuklah acara-acara yang berlangsung di Hongkod Koisaan, Penampang bermula pada pertengahan Mei nanti.

Sementara itu Pengarah Urusan MRS Berhad,  Asmin Mudin berterima kasih kepada kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Penganjur Pesta Kaamatan Negeri Sabah 2023 kerana memperhalusi dan menyokong penuh usaha MRS.

“Walaupun perkara ini adalah masih terlalu baharu buat kita semua di Sabah, tetapi dengan persetujuan yang dicapai hari ini, bolehlah dianggap sebagai perintis kepada pembangunan industri muzik negeri Sabah,” katanya.

Jelasnya dengan pelesenan ini, para peserta Sugandoi, artis jemputan dan penganjur acara Pesta Kaamatan di 34 buah daerah dan 7 cawangan KDCA seluruh Malaysia boleh menggunakan lagu etnik tempatan di bawah mandat MRS tanpa rasa ragu-ragu, di pelbagai acara seperti Unduk Ngadau, Sugandoi, Konsert Kaamatan atau karaoke terbuka di gerai-gerai Kaamatan nanti, tetapi pelesenan ini tidak terpakai kepada penganjuran acara Pesta Kaamatan selain anjuran kerajaan negeri dan KDCA.

Music Rights Sabah (MRS) Berhad turut menghargai peranan Jawatankuasa Pesta Kaamatan Negeri Sabah 2023 yang dianggap sebagai contoh dan tauladan kepada penganjur-penganjur acara yang lain dari segi nilai moral dan kebertanggungjawaban dalam menjaga hak penggiat seni tempatan.