PRU15: MBS Jangka Jumlah Pengundi Muda Sabah Keluar Mengundi Tidak Capai 50...

PRU15: MBS Jangka Jumlah Pengundi Muda Sabah Keluar Mengundi Tidak Capai 50 Peratus

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KOTA KINABALU, SABAH – Majlis Belia Sabah (MBS) menjangkakan peratusan keluar pengundi muda di Sabah mencapai kurang 50 peratus pada hari mengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November nanti.

Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan berkata berdasarkan pihaknya telah menerima hasil pemerhatian dan maklum balas yang diterima oleh wakil pelbagai kelab dan persatuan belia di negeri ini.

Menurutnya, ia memberi gambaran penyertaan pengundi muda yang rendah disebabkan tahap kefahaman politik yang minima selain kekangan kewangan untuk pulang ke parlimen masing-masing pada hari mengundi.

“Peratus keluar mengundi belia di Sabah dijangka kurang daripada 50 peratus berdasarkan faktor literasi politik yang rendah selain kekangan kewangan untuk pulang ke kawasan masing-masing untuk membuang undi,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Abqaree berkata pengundi muda secara umumnya diketahui lebih cenderung memilih calon wakil rakyat yang mampu menawarkan penyelesaian kepada masalah pendapatan rendah, pemilikan rumah, kos sara hidup selain mempunyai perwatakan mesra rakyat.

“Pengundi muda ketika ini banyak tertumpu kepada isu peluang menjana pendapatan, pemilikan rumah, dan kos sara hidup yang semakin meningkat…

“Pengundi muda yang mempunyai kesedaran politik lebih cenderung memilih wakil rakyat yang berperwatakan sederhana dan dekat dengan mereka,” katanya.

Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan…

Selain itu, Abqaree turut menjelaskan pengundi muda dalam lingkungan umur 18 hingga 39 tahun di Sabah adalah seramai 932,541 orang, mewakili 55.2 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi di negeri tersebut iaitu seramai 1,689,387 orang.

“Seramai 932,541 pengundi muda dalam lingkungan umur 18 hingga 39 tahun di Sabah akan menentukan kemenangan calon yang bertanding pada 19 November…

“Jumlah tersebut mewakili 55.2 peratus daripada jumlah keseluruhan daripada 1,689,387 orang pengundi di Sabah,” katanya.

Untuk rekod, Sabah turut mencatatkan bilangan pengundi muda kelima tertinggi di seluruh Malaysia berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 9 Oktober lepas.