SURUHANJAYA TENAGA SABAH AKAN DITUBUHKAN APRIL 2023 – KM HAJIJI

SURUHANJAYA TENAGA SABAH AKAN DITUBUHKAN APRIL 2023 – KM HAJIJI

0
SHARE
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor disambut sebaik tiba di SJK (C) Kung Ming Tawau malam Rabu...

TAWAU, SABAH – Rang undang-undang yang akan memberi laluan kepada pembentukan Suruhanjaya Tenaga Sabah akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri pada April tahun depan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Dengan penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah, negeri ini akan mempunyai kawalan penuh mengenai pengurusan sumber tenaganya, terutamanya elektrik, katanya.

“Ini adalah sebahagian daripada tuntutan Kerajaan Negeri GRS-BN berhubung hak kami dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya pada majlis jamuan bersama rakyat di Dewan Kung Ming SJK (C) di sini malam Rabu.

Bersama beliau ialah calon GRS-BN bagi Tawau, Lo Su Fui dan Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama Lo Su Fui dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy serta pemimpin GRS-BN pada majlis makan malam itu…

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah itu menggesa pengundi Tawau untuk membuang undi dengan berhati-hati dan memilih wakil rakyat yang mementingkan kebajikan mereka.

Beliau berkata calon GRS-BN bagi Tawau, Lo Su Fui dilahirkan dan dibesarkan di Tawau, jadi beliau amat memahami keperluan penduduk di sini.

Beliau berkata kerjasama antara GRS dan Barisan Nasional yang terjalin sebelum pilihan raya negeri 2020 dan merupakan cara terbaik untuk Sabah bergerak ke hadapan.

“Ini satu-satunya cara untuk kita membangunkan Sabah dan kerjasama ini mesti diterjemahkan kepada undi untuk calon GRS-BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15,” katanya.

Hajiji berkata Warisan cemburu dengan Kerajaan Negeri GRS-BN kerana telah membangunkan Sabah melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Mereka (Warisan) tidak mempunyai rancangan sedemikian semasa mereka dalam kerajaan. Mereka tidak mempunyai program atau platform yang jelas…

“Tetapi Kerajaan Negeri GRS-BN, kita mempunyai SMJ, iaitu slogan pada lambang Negara kita yang digubal dengan mengambil kira manifesto yang kita tawarkan kepada rakyat,” katanya.

Hajiji berkata beberapa projek akan dimulakan tahun depan di sini termasuk pembinaan Jalan Utara Tawau dan Loji Rawatan Air Cintamata Tawau bernilai RM400 juta.

Mengambil kira penyertaan aktif Tawau dalam memajukan budaya, beliau berkata Kerajaan Negeri GRS-BN akan membina Pusat Kebudayaan Antarabangsa Tawau (TICC).

Paling penting, katanya adalah kesejahteraan rakyat dan Kerajaan Negeri sedang berusaha untuk mendapatkan pulangan yang lebih baik daripada sektor minyak dan gasnya melalui Petronas.

“Semua hasil ini akan disalurkan kembali kepada rakyat. Tidak ada gunanya kita bincangkan projek mega tetapi rakyat terus miskin,” katanya.

Berdasarkan pemerhatiannya, Ketua Menteri yakin dengan peluang Lo dan Andi yang juga Adun Tanjung Batu pada 19 November ini.

Kira-kira 1,000 orang menghadiri majlis makan malam itu termasuk Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Datuk Arifin Arif, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Adun Balung Datuk Hamil Awang, Adun Kukusan Rina Jainal, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Syed Abas Syed Ali serta pemimpin parti komponen GRS dan BN.