Kota Marudu Terima Bantuan 15,183 Bakul Makanan Untuk Diagihkan

Kota Marudu Terima Bantuan 15,183 Bakul Makanan Untuk Diagihkan

0
SHARE
Christoper Mandut...

KOTA MARUDU, SABAH – Sebanyak 15,183 bakul makanan daripada Kerajaan Negeri telah dan sedang diagihkan kepada golongan sasar B40 dan e-Kasih di daerah Kota Marudu.

Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Christoper Mandut berkata, bantuan tersebut diagih-agihkan kepada sembilan mukim yang mengandungi keseluruhannya 116 buah kampung.

Christoper yang juga Ketua Pemuda merangkap Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai oleh Datuk Seri Hajiji Haji Noor di atas keperihatinan kepada rakyat di daerah berkenaan.

“Terima kasih diucapkan kepada Kerajaan GRS,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Christoper berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 telah menghadkan pergerakan mengakibatkan sesetengah rakyat untuk hilang punca mata pencarian.

Dengan adanya bantuan seumpama ini, ia dapat meringankan bebanan bagi mereka yang terjejas, tambahnya.

“Setakat ini, sudah 12,337 daripada bakul makanan tersebut telah diagihkan dan bakinya masih dalam proses agihan.”

Pengagihan dikendalikan oleh Pejabat Daerah Kota Marudu. Bagi kawasan pedalaman bantuan bakul makanan diagihkan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Christoper juga meminta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi setiap kampung dalam daerah berkenaan untuk memaklumkan kepada Pejabat Daerah Kota Marudu sekiranya berlaku keciciran golongan sasar atau penerima bantuan supaya dapat diberikan bantuan.