Polis Sabah Tahan Lelaki Disyaki Hina TYT dan Ketua Menteri di TikTok

Polis Sabah Tahan Lelaki Disyaki Hina TYT dan Ketua Menteri di TikTok

0
SHARE

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah menahan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun kerana disyaki mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan terhadap Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Ketua Menteri Sabah menerusi aplikasi TikTok.

Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Dikun berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan pada 7 September 2025 mengenai satu hantaran video dalam akaun TikTok @bentan_alamin_35 yang didakwa mengandungi penghinaan serta penyalahgunaan kemudahan rangkaian terhadap dua pemimpin utama negeri.

“Hasil siasatan mendapati kandungan video berkenaan jelas berunsur hasutan serta penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.

Menurut beliau, suspek ditahan sekitar jam 2.45 petang pada 9 September 2025 di daerah Papar.

Polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Vivo yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut.

“Semakan awal mendapati suspek merupakan pengendali akaun TikTok berkenaan dan mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan penyalahgunaan kemudahan rangkaian,” jelasnya.

Dalam pada itu Jauteh menegaskan, PDRM memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta keharmonian masyarakat.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berhemah dan berfikir terlebih dahulu sebelum berkongsi sebarang kandungan. PDRM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengguna media sosial agar sentiasa bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang serta norma keharmonian masyarakat.