Jemaah Solat Sunat Aidiladha Perlu Lengkap 2 Dos Vaksin COVID-19

Jemaah Solat Sunat Aidiladha Perlu Lengkap 2 Dos Vaksin COVID-19

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri Sabah melalui satu Mesyuarat Jawatankuasa Khas SOP COVID-19 Bagi Hal Ehwal Islam memutuskan Solat Sunat Aidiladha dibenarkan dengan jumlah satu per tiga (1/3) daripada keluasaan dewan utama solat atau 50 orang jemaah atau mana-mana yang lebih rendah.

Ini dengan syarat jemaah telah lengkap vaksin (2 DOS) dan berdasarkan syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri.

“Keputusan ini tertakluk kepada situasi semasa pandemik COVID-19,” kata Jurucakap COVID-19 negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Ibadah korban boleh dilaksanakan bermula pada 10 Zulhijjah Hari Raya Aidiladha dan tiga (3) hari Tasyrik. (10, 11, 12, 13 Zulhijjah) kecuali kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Namun begitu ianya bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa negeri atas nasihat kementerian kesihatan malaysia (KKM) dan majlis keselamatan negara (MKN) untuk tujuan pelaksanaan…

“Lokasi penyembelihan boleh dibuat di Rumah Sembelihan, Rumah Penyembelihan ruminan swasta yang berlesen, Masjid dan Surau dengan kelulusan Pihak Berkuasa Agama Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Pejabat Kesihatan Daerah, Kawasan lapang seperti Balai Raya, Dewan yang bersesuaian dengan kebenaran pihak berkuasa tempatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Penyelarasan JHEAINS dan Pejabat Kesihatan Daerah.

“Lokasi lain selain daripada masjid atau surau perlu memohon kebenaran kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dengan lebih awal.

“Jumlah haiwan sembelihan di masjid dan surau tidak lebih daripada lima (5) ekor sehari kecuali kambing 10 ekor. Pengecualian bilangan haiwan ini diberikan sekiranya diproses di rumah penyembelihan yang dibenarkan.

“Jumlah petugas tidak melebihi 20 orang sehari dengan syarat sihat tubuh badan dan lengkap menerima DUA DOS vaksin,” jelas beliau.

Datuk Masidi Manjun…

Aktiviti memasak di kawasan penyembelihan adalah tidak dibenarkan dan agihan tidak dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid atau surau.

“Agihan akan dibuat kepada pihak-pihak berkenaan melalui cara penghantaran sahaja ke rumah atau kediaman masing-masing, manakala jamuan petugas hanya berbungkus sahaja,” katanya lagi.

Terdahulu, Masidi memaklumkan bahawa Sabah mencatatkan penurunan kes positif COVID-19 secara mendadak yang membawa kepada 129 KES baharu pada kelmarin (Rabu).

Infografik perkembangan terkini COVID-19 di Sabah setakat 24 Jun 2021…(Sumber Foto: Command Centre Sabah)

Masidi walau bagaimanapun memaklumkan terdapat peningkatan pada kes kematian iaitu sebanyak TUJUH (7) KES yang dicatatkan di daerah Tawau (2 kes), manakala Sandakan, Kunak, Kudat, Penampang dan Keningau masing-masing mencatatkan satu kes.

“Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Kukut, Beaufort dan Kampung Tambulion Ulu, Kota Belud berkuat kuasa 25 Jun sehingga 8 Julai,” katanya.

Beliau berkata setelah membuat penilaian risiko dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), PKPD di Kampung Likas, Kota Kinabalu turut dilanjutkan sehingga 7 Julai selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.

“Walau bagaimanapun, memandangkan PKPD Kampung Likas terbahagi kepada Zon 1 dan Zon 2, pelanjutan hanya melibatkan Zon 1 berikutan risiko penularan masih tinggi di lokaliti tersebut,” jelas beliau.