KGKS Sambut Baik Keputusan KPM Benar Permohonan Pertukaran Guru Selepas Dua Tahun...

KGKS Sambut Baik Keputusan KPM Benar Permohonan Pertukaran Guru Selepas Dua Tahun Berkhidmat

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) menyambut baik keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang membenarkan guru membuat permohonan pertukaran selepas berkhidmat sekurang-kurangnya dua tahun, sambil menyifatkannya sebagai langkah terbaik yang wajar disokong oleh semua pihak.

Presiden KGKS, Murkam Hussien berkata, langkah reformasi itu amat tepat pada masanya dan sejajar dengan perjuangan berterusan kesatuan tersebut, khususnya dalam memperjuangkan kebajikan guru-guru Sabah yang berkhidmat di luar negeri atau di daerah-daerah lain dalam Sabah.

“KGKS menyambut baik berita ini kerana ia sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada guru-guru, terutamanya mereka yang berpisah dengan pasangan atas faktor penempatan kerja atau yang mempunyai masalah kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, fleksibiliti tersebut diharap dapat memastikan kesejahteraan mental dan semangat kerja guru sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

“Fleksibiliti seperti ini diharap dapat memastikan kesejahteraan mental dan semangat kerja guru-guru, khususnya yang sudah lama berjauhan dengan pasangan, sentiasa terpelihara,” katanya lagi.

Murkam mengulas pengumuman Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika Sambutan Hari Guru Ke-54 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, pada Jumaat lalu, yang antara lain mengumumkan enam khabar gembira kepada warga pendidik.

Antaranya ialah kelonggaran syarat pertukaran guru, penempatan 1,470 pembantu guru (MyPg), serta peluang kepada 32 orang guru cemerlang untuk berkhidmat di sekolah antarabangsa di United Kingdom.

Mengulas lanjut, Murkam berkata KGKS kekal komited memperjuangkan kebajikan warga pendidik di Sabah dan sentiasa terbuka untuk mendengar rintihan mereka demi kebaikan bersama.