PAPAR: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menegur tindakan penggunaan ‘letter head’ kepala surat rasmi Sekretariat Kerajaan Perpaduan ketika mengumumkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Menurut Armizan, tindakan itu mencetuskan polemik politik yang tidak membina di negeri ini dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat, selain memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan perkara tersebut dalam sidang media ketika lawatannya ke Tawau baru-baru ini.
“Penggunaan kepala surat Sekretariat Kerajaan Perpaduan adalah tidak wajar kerana pengumuman tersebut hanya melibatkan dua parti gabungan, bukan keputusan konsensus semua parti dalam kerajaan. Asyraf dan Saifuddin sepatutnya lebih teliti dalam tindakan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Citra Tradisi #KPDNKITA bersama media di sini semalam.
Teguran itu merujuk kepada tindakan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, yang juga Setiausaha Agung UMNO, dan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang menggunakan kepala surat rasmi tersebut dalam kenyataan bersama mereka pada 9 Mei bagi mengumumkan kerjasama politik antara BN dan PH di Sabah.
Armizan turut mempersoalkan sama ada sekretariat tersebut mempunyai kuasa untuk mengeluarkan kenyataan rasmi tanpa merujuk kepada Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan.
“Adakah Sekretariat juga akan bertindak serupa bagi PRN Sarawak kelak? Ini persoalan yang perlu dijawab. Kita harap Setiausaha Agung Majlis Perundingan, Datuk Seri Fadillah Yusof dapat melihat isu ini secara serius agar tidak berulang di masa hadapan,” katanya.
Tambah beliau, setiap parti berhak membuat keputusan politik, termasuk membentuk kerjasama, namun penggunaan platform rasmi kerajaan tidak harus digunakan untuk tujuan yang hanya melibatkan sebahagian gabungan.
“Kita perlu hormati keunikan landskap politik negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor. Kalau benar kestabilan politik menjadi matlamat, kita juga perlu saling menghormati,” katanya lagi.
Armizan sekali lagi mengingatkan bahawa walaupun GRS sering dilihat kecil oleh sesetengah pihak, namun ia tetap mempunyai kekuatan dan keyakinan untuk membawa Sabah ke arah masa depan yang lebih baik.






