
KOTA KINABALU, SABAH – Polis sedang memburu seorang suspek lelaki yang terlibat dalam kes ragut telefon bimbit seorang wanita di lot kedai University Apartment, di sini, pada tengah malam Selasa.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata wanita itu sedang menutup kedai seorang diri pada kira-kira 12:12 pagi apabila pelanggannya merampas telefon dari tangannya dan melarikan diri menaiki motosikal.
Polis tidak dapat mengetahui nombor plat kenderaan terbabit bagaimanapun rakaman CCTV pada premis sempat menangkap muka lelaki itu yang memakai topi keledar.
“Suspek lingkungan 30an memakai kemeja-T berkolar putih, kurus, berjanggut dengan rambut panjang dan memakai topi keledar motosikal jenama SGV berwarna putih ketika melakukan jenayah tersebut,” jelas Zaidi.
Orang ramai diminta memaklumkan pihak Polis sekiranya terserempak dengan suspek supaya tangkapan boleh dibuat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Allexius Sapikit di talian 016-3888828.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa berjaga-jaga dan berhati-hati dengan setiap pergerakan terutama pada waktu malam ketika penjenayah paling aktif.
“Jangan biarkan mereka mengambil kesempatan ke atas kerana alpa. Elakkan bersendirian di tempat sunyi atau terpencil bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.





