KOTA KINABALU: Pertandingan Unduk Ngadau bukan hanya tentang mempamerkan kecantikan.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Redonah Bahanda berkata ia lebih daripada sebagai sebuah perayaan warisan yang begitu mendalam maknanya.
Katanya, ia mempamerkan kecantikan budaya kita, keindahan pakaian tradisional, keluhuran bahasa, keistimewaan makanan tradisi dan pastinya semangat juang yang tidak pernah pudar.
Tambah beliau, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM13.66 juta tahun ini bagi usaha pemeliharaan warisan budaya dan seni Sabah.
“Ia bagi memastikan warisan seperti pakaian tradisional etnik Sabah bukan sahaja diwarisi oleh generasi kini tetapi juga dilindungi untuk generasi akan datang. Inilah usaha Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Saya berharap minat terhadap warisan budaya kita dapat dikekalkan dan diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain.
“Para peserta pertandingan Unduk Ngadau sendiri perlu mengambil peluang untuk menjadi duta pemeliharaan budaya, bahasa dan tradisi suku kaum Kadazandusun.
“Saya percaya bahawa kemajuan tidak harus mengorbankan identiti. Kita boleh membina jalan, internet dan kemudahan tanpa melupakan tarian tradisi dan bunyi gong. Kita boleh menuju masa depan, dengan tetap menggenggam sejarah tradisi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Sodup Unduk Ngadau Kaamatan peringkat daerah Kota Marudu 2025 di Dewan Komuniti Kota Marudu semalam.
Redonah berkata pertandingan ini juga menyokong usaha Kerajaan Negeri untuk memperkukuh pelancongan budaya melalui promosi warisan tempatan.
“Keunikan busana etnik Kadazan, Dusun boleh menjadi tarikan bukan sahaja di peringkat negeri, malah di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, tema sambutan Pesta Kaamatan tahun ini, ‘Kaamatan Untuk Semua’ membawa makna yang besar bahawa semangat Kaamatan tidak terbatas kepada satu kaum sahaja, tetapi adalah milik bersama seluruh rakyat Sabah.
Jelasnya, pertandingan seperti dapat memberi peluang kepada pereka fesyen mempamerkan rekaan masing-masing.
Katanya ia juga dapat memberi peluang kepada jurusolek untuk menjana pendapatan.
Pemenang Sodop Unduk Ngadau daerah Kota Marudu jatuh kepada Ellysua Mojuning, Naib Johan kepada Adzlin Madzim Edward Kibut dan tempat ketiga kepada Florence Janis.






