KOTA KINABALU: Sabah FC hari ini secara rasmi melancarkan jersi baharu bagi menghadapi saingan musim 2026/2027 dalam satu majlis yang berlangsung di Sportmart, Suria Sabah, di sini.
Pelancaran jersi rasmi bersama Carino itu bukan sekadar memperkenalkan rekaan baharu kepada penyokong, malah membawa identiti, semangat perjuangan dan aspirasi Sang Badak dalam mengharungi cabaran musim baharu.
Lebih istimewa, rekaan jersi baharu Sabah FC turut mengetengahkan elemen identiti native Sabah, sekali gus menyerlahkan keunikan warisan tempatan dan jati diri negeri di sebalik penampilan moden pasukan.
Sentuhan berteraskan identiti Sabah itu menjadikan jersi berkenaan bukan sekadar pakaian pertandingan, tetapi turut membawa simbol kebanggaan dan karakter tersendiri Sang Badak.
Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sabah (SAFA), Datuk Awang Kadin Tang berkata, jersi berkenaan melambangkan semangat perjuangan pasukan serta menjadi simbol kebanggaan kepada seluruh penyokong dan rakyat Sabah.
“Jersi ini bukan sekadar pakaian sukan, tetapi lambang perjuangan dan kebanggaan negeri Sabah. Kami mahu para pemain memahami tanggungjawab yang hadir bersama jersi ini dan memberikan komitmen terbaik setiap kali turun ke padang,” katanya.
Menurut beliau, Sabah FC komited untuk terus meningkatkan prestasi pasukan, memperkukuhkan struktur kelab serta memberi ruang kepada pembangunan bakat tempatan dalam usaha membawa kelab ke tahap lebih tinggi.
Sabah FC turut merakamkan penghargaan kepada Carino selaku penaja utama jersi Sabah FC bagi musim 2026/2027 atas kepercayaan serta komitmen yang diberikan kepada kelab.
Majlis pelancaran turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan pemain Sang Badak, antaranya Dominic Tan Jun Jin, Dane James Ingham, Abdul Hanafie Tokyo Abdul Hasim, Abdul Halim Saari, Mohd Farhan Roslan, Darren Lok Yee Deng, Miguel Ángel Garrido Cifuentes (Cifu), Oskari Kekkonen, Enrique López Fernández (Kadete), Juan Flere Pizzuti dan Gonzalo Ignacio Di Renzo.
Turut hadir ialah Setiausaha Agung SAFA, Samsuddin Mohd Shah; Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Victor Ationg; Pengurus Besar Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd, Tuan Haji Sumardi bin Yusof; Ben Wong Ararat, selain barisan pengurusan Sabah FC, penaja, rakan strategik, media serta penyokong.
Majlis itu turut diserikan dengan sesi Meet & Greet bersama pemain Sabah FC, sekali gus memberi peluang kepada penyokong untuk bertemu lebih dekat dengan barisan pemain Sang Badak.
Datuk Awang Kadin dalam pada itu menyeru seluruh penyokong Sabah FC agar terus berdiri teguh bersama pasukan, khususnya ketika beraksi di Stadium Likas.
“Sokongan penyokong di Stadium Likas dan di seluruh Sabah merupakan sumber kekuatan kepada pasukan. Kami berharap penyokong akan terus berdiri bersama Sabah FC dalam apa jua keadaan,” katanya.
Dengan gabungan rekaan moden, identiti native Sabah serta semangat baharu, Sabah FC kini membawa imej dan misi baharu untuk memberikan saingan terbaik dalam kempen musim 2026/2027.






