KOTA KINABALU: Festival tahunan yang dinanti-nantikan komuniti Borneo di Semenanjung, Borneo Native Festival (BNF), bakal kembali mewarnai Pasar Seni Kuala Lumpur dari 23 hingga 25 Mei ini.
Pelbagai pengisian budaya, jualan produk tempatan dan persembahan seni meriah dijadualkan berlangsung selama acara tiga hari itu.
Memasuki tahun keempat penganjurannya, festival itu bukan sahaja menjadi platform meraikan sambutan Kaamatan dan Gawai bagi masyarakat Sabah dan Sarawak yang tidak dapat pulang ke kampung halaman, tetapi turut membuka ruang besar kepada usahawan sosial dan kraf tempatan untuk memasarkan produk mereka ke ibu kota.
Menurut Pengarah acara, Raffy Syazwan, jumlah jualan disasarkan antara RM200,000 hingga RM300,000 tahun ini.
“Lebih 20 usahawan dari Sabah dan Sarawak dijangka menyertai festival ini, dengan pelbagai produk seperti makanan tradisional, kraf tangan, tekstil etnik, produk kesihatan dan minuman tempatan.
“Kami melihat peningkatan sambutan dari tahun ke tahun. Tahun lalu jumlah pengunjung mencecah lebih 90,000 orang dan tahun ini kami sasarkan lebih 100,000.
“Ramai usahawan mencatat jualan belasan hingga puluhan ribu ringgit hanya dalam tiga hari,” katanya kepada media pada Jumaat.
Antara tarikan utama BNF 2025 ialah persembahan tarian flash mob kebudayaan “Datun Julud” yang merupakan tarian tradisional masyarakat Kenyah dari Sarawak.
Flash mob ini akan melibatkan ratusan penari dari pelbagai latar belakang, bermula dari TRX hingga Pavilion sebelum berakhir di Pasar Seni.
Ia dijangka menarik perhatian orang awam dan pelancong antarabangsa yang sedang berkunjung ke ibu kota.
“Tarian Datun Julud ini bukan sekadar hiburan, tetapi simbol penyatuan dan warisan budaya masyarakat Borneo yang kaya.
“Ia menjadi salah satu cara kami menarik perhatian generasi muda dan pelancong antarabangsa untuk lebih mengenali budaya Sabah dan Sarawak,” tambahnya.
Festival itu turut diserikan dengan kehadiran artis-artis terkenal dari Borneo seperti Alena Murang, Belle Sisoski, dan Dabra Sia, selain peragaan busana etnik, pertandingan tarian tradisional, demonstrasi memasak makanan asli serta forum keusahawanan sosial.
Dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Perpaduan Negara, Lembaga Pelancongan Sabah, dan pelbagai agensi negeri, BNF bukan sekadar festival kebudayaan, tetapi turut berperanan sebagai pra-kempen untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ianya sekali gus mempromosikan potensi pelancongan komuniti luar bandar dari Sabah dan Sarawak.
“Masih ramai di Semenanjung yang keliru antara budaya Malaysia Timur dengan negara jiran. Maka festival seperti ini penting untuk mendidik masyarakat serta memperkukuh semangat perpaduan nasional,” tambah Raffy.
BNF 2025 bakal membuka pintunya kepada pengunjung dari jam 10 pagi hingga 10 malam selama tiga hari berturut-turut, dan dijangka menjadi perayaan budaya terbesar untuk komuniti Borneo di luar negeri asal mereka.






