G57 Buat Laporan Polis Terhadap ‘Whistleblower’ Kerana Memfitnah Ketua Menteri Sabah

G57 Buat Laporan Polis Terhadap ‘Whistleblower’ Kerana Memfitnah Ketua Menteri Sabah

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) hari ini tampil membuat laporan polis terhadap Whistleblower (pemberi maklumat skandal mineral Sabah) kerana secara sengaja memfitnah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung kelulusan lesen mineral di Sabah.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, kenyataan berbaur fitnah itu dibuat ketika pemberi maklumat atau Mr X ditemu bual peguam, Datuk Zaid Ibrahim dalam program podcast menerusi saluran YouTube ‘F8Buzz’, pada 15 Mei lalu.

Beliau berkata, ketika rakaman podcast itu dibuat, ‘Mr X’ yang dikaburkan wajahnya mendakwa, Hajiji menyalahgunakan SMM yang digelar sebagai ‘Small 1MDB’ untuk mencari duit haram bagi kegunaan peribadi.

“Ini jelas tuduhan fitnah jahat kononnya Hajiji telah memberikan lesen kepada beberapa orang wakil rakyat, kemudian mengarahkan mereka mencairkan wang selepas menyokong kepimpinan Hajiji mengeluarkan lesen mineral.

“Bukti kenyataan pemberi maklumat pada minit 34.38 ini jelas menunjukkan lesen mineral seperti difitnah oleh beliau kononnya telah dikeluarkan Ketua Menteri Sabah sebenarnya belum dikeluarkan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Sri Petaling, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas rakaman video temu bual Zaid dengan seorang pemberi maklumat iaitu Mr X dalam program podcast di saluran Youtube F*Buzz berdurasi satu jam tujuh minit mengenai pemberian lesen mineral di Sabah.

Menerusi temu bual itu, Mr X merupakan seorang ahli perniagaan dalam industri mineral yang menjalankan aktiviti kuari secara kecil-kecilan termasuk perlombongan bijih timah dan pasir di Semenanjung Malaysia dan beroperasi sejak lapan tahun lalu.

Mr X juga mengakui beliau sedang mencari lesen cari gali mineral di Sabah bersama rakan kongsi lain daripada syarikat awam tersenarai di China, Singapura, Indonesia dan Malaysia sejak 2021, iaitu selepas Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16).