Kerajaan GRS Lancar Skim Insurans Pertama Sabah, Lindungi 2.7 Juta Rakyat Secara...

Kerajaan GRS Lancar Skim Insurans Pertama Sabah, Lindungi 2.7 Juta Rakyat Secara Percuma

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seramai 2.7 juta rakyat Sabah secara automatik dilindungi di bawah Sabah Group Personal Accident Scheme, inisiatif keselamatan sosial pertama kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata skim yang dikendalikan oleh Progressive Insurance Bhd milik Kerajaan negeri itu memberi perlindungan global kepada rakyat Sabah berumur 30 hari hingga 80 tahun dengan MyKad atau MyKid berkod negeri 12, 47, 48, atau 49.

“Manfaat termasuk pampasan RM10,000 bagi kematian akibat kemalangan dan sehingga RM20,000 untuk hilang upaya kekal, tertakluk kepada jenis kecederaan.

“Skim ini berkuat kuasa dari 1 Mei 2025 hingga 30 April 2028 dengan dana RM50 juta bersamaan premium RM7 seorang.

“Ia merangkumi kemalangan jalan raya, jatuh, dan kecederaan pekerjaan kecuali dalam sektor berisiko tinggi seperti tentera dan industri minyak dan gas semasa bertugas,” katanya selepas majlis pelancaran di SICC pada Jumaat.

Masidi menegaskan skim itu bukan “gula-gula pilihan Raya” dan menolak dakwaan kewujudan orang tengah.

Katanya, pampasan dijangka dibayar dalam tempoh 14 hingga 30 hari bekerja.

Beliau turut menyeru pemimpin masyarakat menyebarkan maklumat skim ini kepada penduduk luar bandar.