Ambuyat Jadi ‘Duta’ Makanan Borneo Di Program MADANI Rakyat Zon Timur

Ambuyat Jadi ‘Duta’ Makanan Borneo Di Program MADANI Rakyat Zon Timur

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KUANTAN, PAHANG – Keunikan menu tradisi masyarakat Borneo, ‘Ambuyat’ atau ‘linut’ yang dihidangkan oleh wanita berbusana tradisi masyarakat Iban menjadi tumpuan ramai pengunjung di reruai Kementerian Perpaduan Negara pada hari pertama Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur, di Dataran Sayangi Kuantan di sini, semalam.

Pengunjung daripada pelbagai peringkat umur dilihat ‘teruja’ dan tidak mahu melepaskan peluang untuk mencuba menu tradisi itu, yang dimakan begitu sahaja ataupun bersama dengan ‘latok’ atau rumpai laut, berbanding kuih tradisi bangsa lain yang turut sama dipamerkan.

Seorang pengunjung reruai berkenaan Aishah Mazlan, 29, berkata program MADANI Rakyat itu merupakan platform terbaik bagi memperkenalkan makanan tradisi masyarakat Borneo kepada penduduk sekitar sini.

“Sejujurnya kalau saya ada nampak peniaga menjual ambuyat memang tidak berminat beli, sebab tidak tahu bagaimana rasanya, tetapi apabila ada pameran sebegini, rasa teruja untuk mengetahui bagaimana rasanya dan tak sangka ia sangat sedap.

“Tambah apabila makan dengan latok, gabungan kedua-duanya ada rasa kenyal, manis, masin, cukup menarik. Bagus sangat pendekatan program sebegini membantu kami, orang Semenanjung untuk mengenali menu tradisi Sabah, Sarawak dan kaum-kaum lain,” kata perunding insurans itu kepada Bernama di sini semalam.

Selain daripada ambuyat, menu tradisi masyarakat Orang Asli iaitu nasi impit bersama dengan sambal khas seperti serunding, gulab jamun (manisan India), kuih bulan, kuih bakul (kuih bangsa Cina) dan berbagai lagi kuih warisan masyarakat majmuk negara ini turut menjadi tumpuan pengunjung.

Kemeriahan sambutan di reruai ini tidak hanya fokus kepada keenakan hidangan tradisional semata-mata, tetapi pengunjung berbagai peringkat umur juga dilihat tidak melepaskan peluang untuk menggayakan pelbagai busana tradisi secara percuma.

Ketua Seksyen Hal Ehwal Korporat, Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Perpaduan Negara Nor Suzamah Abdul Rahman berkata Malaysia sebagai sebuah negara berbilang bangsa serta mempunyai kepelbagaian jenis makanan, merupakan satu keunikan, dan inilah yang ditonjolkan kementerian sepanjang Program MADANI Rakyat.

”Kami tonjolkannya melalui kuih, permainan, peluang menggayakan busana pelbagai bangsa untuk masyarakat lebih mengenali antara satu sama lain. Misalnya ada yang tidak berpeluang lagi ke Sabah atau Sarawak, dan menerusi Program MADANI Rakyat ini, kami bawakannya kepada pengunjung di zon timur,” katanya.

Program MADANI Rakyat Zon Timur 2024 dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Selain usaha kerajaan menyediakan perkhidmatan terus kepada rakyat, program berkenaan dilihat dapat mewujudkan saluran komunikasi berterusan antara masyarakat dengan kerajaan, sekali gus memperkukuh hubungan dalam usaha membina negara yang lebih sejahtera selaras agenda Malaysia MADANI.

– BERNAMA