KOTA KINABALU, SABAH – Persiapan untuk semua persembahan Sambutan Hari Sabah kini mencapai 70 peratus, kata Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), Dikin Musah.
Menurutnya, selain penampilan artis terkenal, persembahan khas “Malaysia Madani, Jiwa Merdeka” juga bakal dihidangkan kepada para pengunjung di Padang Merdeka, pada 31 Ogos ini.
“Persembahan khas pula adalah persembahan berdasarkan tema Hari Kebangsaan mempunyai lima segmen tarian iaitu Malaysiaku Perkasa, Bunga Kebangsaan, Transformasi Malaysia, Sabah Maju Jaya dan Jiwaku Merdeka.
“Persembahan tersebut akan melibatkan penyertaan 100 orang artis budaya dan beberapa artis terkenal tempatan,” ujarnya kepada media selepas sesi temu bual di Konti Sabahfm, pada Rabu.
Sesi temubual tersebut dikelolakan oleh penyampai Aziyan Wahab dan Ramlah Othman( Kak Lang) disiarkan secara langsung di radio Sabahfm menerusi segmen Kita Kongsi Kita Ceria bermula jam 3.00 petang. — JABATAN PENERANGAN SABAH