Lelaki China Dipenjara 5 Tahun Sebabkan Kematian Pengarah Mahkamah Sabah

Lelaki China Dipenjara 5 Tahun Sebabkan Kematian Pengarah Mahkamah Sabah

0
SHARE

SIBU: Seorang lelaki warganegara China, Sun Xue Song, 42, dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Sibu hari ini kerana memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Marutin Pagan, 56, dalam kemalangan pada 30 Mac lalu.

Hakim Rosli Ahmad turut memerintahkan Sun didenda RM20,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar, serta digantung lesen memandu selama lima tahun bermula 7 April.

Sun pada awalnya mengaku tidak bersalah, namun menukar pengakuan kepada bersalah pada 16 Mei. Kes kemudian dipindahkan kepada Hakim Rosli selepas majistret menarik diri kerana mengenali mangsa.

Menurut fakta kes, Sun memandu kenderaan pacuan empat roda secara berbahaya di bulatan Kanowit, Sibu, menyebabkan kematian Marutin. Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Peguam bela memohon hukuman ringan atas alasan Sun tiada rekod jenayah dan telah memberi kerjasama penuh dan membantu keluarga mangsa dengan bayaran sumbangan.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Cynthia Emmelda Jerry menekankan kepentingan awam dan trauma keluarga mangsa, memohon hukuman berbentuk pengajaran.