Lagi Bas Bawa Pelajar IPT Terlibat Kemalangan, Mujur Tiada Kecederaan

Lagi Bas Bawa Pelajar IPT Terlibat Kemalangan, Mujur Tiada Kecederaan

0
SHARE

KUANTAN: Seramai 28 individu termasuk 13 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terselamat tanpa sebarang kecederaan selepas bas ekspres dinaiki mereka melanggar belakang treler di KM161.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur, kira-kira jam 1 pagi Selasa.

Bas dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan ke Kuantan itu kemudiannya digantikan dengan kenderaan lain.

Ketua Polis Daerah Maran, Supt Wong Kim Wai, mengesahkan semua penumpang termasuk pemandu dan kelindan tidak cedera. Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias dalam pada itu memaklumkan kesemua pelajar tiba selamat di kampus Gambang sekitar jam 4 pagi.

“Mereka diberi makanan, sokongan emosi dan penginapan sementara, terutama tujuh pelajar dari kampus Pekan,” katanya memetik Bernama.

Insiden ini berlaku sehari selepas kemalangan tragis membabitkan 13 pelajar UPSI yang maut apabila bas persiaran mereka terbabas di Gerik, Perak.

Kejadian itu menimbulkan kebimbangan berterusan terhadap keselamatan pelajar dalam perjalanan jarak jauh menggunakan bas.