KULAI – Polis menahan lapan lelaki berusia antara 26 hingga 45 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian sekumpulan individu dipercayai menutup laluan awam untuk memberi ruang kepada dua motosikal berlumba di Kulai, Johor.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi 33 saat yang tular di Facebook memaparkan aksi dua penunggang motosikal dipercayai berlumba di lebuh raya.
Kejadian dipercayai berlaku di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), bermula dari Kilometer (KM) 33 susur Tol Senai Utara hingga KM31 susur Johor Premium Outlet (JPO).
Berdasarkan rakaman yang tular, beberapa individu dilihat berada di tepi lebuh raya dan dipercayai bertindak menutup laluan bagi memberi ruang kepada dua motosikal terbabit berlumba.
Dua penunggang berkenaan turut dilihat memecut serta melakukan aksi berbahaya ketika menggunakan lebuh raya berkenaan, sekali gus boleh mendatangkan risiko kepada pengguna jalan raya lain.
Susulan video berkenaan, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan lapan suspek berusia antara 26 hingga 45 tahun bagi membantu siasatan.
Polis turut meneruskan usaha mengesan individu lain yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan perbuatan memandu atau menunggang secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam aktiviti lumba haram atau melakukan sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.






